Sunday, 14 October 2012
@ 03:10
 
 Kucing mungkin seekor haiwan yang berdikari, tetapi ia juga boleh dilatih untuk mengikut rutin. Kita juga boleh melatih kucing apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak. Kucing juga boleh diajar untuk tidak memberontak apabila kita cuba memeriksa badannya atau memandikannya.
Seawal sebulan, kucing boleh dilatih merelakan dirinya diperiksa tubuh badannya, termasuk kaki, kuru, gigi, mulut dan ekor. Adalah penting kita memegang kucing dengan cara yang betul dan lembut dalam pelbagai posisi. Apabila kucing sudah biasa dengan cara kita memeriksanya, apabila tiba waktu untuk kita menghantarnya menjalani ujian di klinik, ia tidak akan merasa takut atau memberontak.
Kucing boleh diajar memahami maksud TIDAK. Setiap kali apabila ia melakukan sesuatu yang kita tidak sukai, kita harus mengatakan TIDAK berulangkali dengan nada TEGAS dan bukan dengan nada MARAH pada ketika itu juga dengan memegang tengkuknya dan merenung matanya. Lakukan ini selalu dan pastinya ia akan melekat dalam pemikirannya.
Cara mendidik kucing supaya memahami kita ialah dengan memberinya bergerak bebas sebelum kita menyediakannya makanan. Apabila makanan sudah siap, cuba panggil namanya berulangkali sambil jari kita mengetuk perlahan-lahan mangkuk makannya. Langkah ini sebagai memberi signal kepadanya bahawa makanan itu adalah ganjaran kerana bersikap dengan baik.
Kucing juga boleh dididik supaya tidak kencing atau berak bersepah. Pastikan anda menyediakan sangkar yang besar kerana sangkar yang sempit akan menyukarnnya bergerak. Sangkar itu mesti cukup besar untuk memuatkan bekas pasir (yang nyahbau).
 
Anak kucing pada peringkat awal mungkin tidak tahu kegunaan pasir itu dan akan cuba makan pasir berkenaan. Apabila ini berlaku, anda harus bertindak cepat membersihkan mulutnya supaya ia tidak termakan pasir berkenaan. Jika tertelan, ia akan memudaratkan kucing berkenaan.
Cara terbaik mengajar kucing menggunakan pasir najis ialah apabila si kucing kencing, gunakan kapas untuk membersihkan air kencing itu. Kemudian campakkan kapas itu ke dalam bekas pasir najis dan taburkan pasir najis di atas kapas itu. Maka, pada masa akan datang, apabila kucing itu terasa mahu kencing atau berak, ia akan mencari bau yang terletak pada kapas itu. Penggunaan pasir najis yang nyahbau amat penting untuk memastikan rumah kita tidak berbau najis atau kencing kucing. Najis atau kencing kucing mesti dibersihkan sekerap mungkin (setiap kali selepas kucing berak atau kencing) untuk memastikan persekitaran yang tidak berbau.
Letakkan pewangi rumah berbau Lavender berdekatan sangkar kucing. Bau Lavender bukan sahaja akan menyahkan bau, tetapi menenangkan kucing dan menyenangkannya untuk tidur.
Perkara paling penting, selain kerap membersihkan bekas najis, anda juga mesti memastikan, setiap kali kucing peliharaan sudah habis menikmati makanannya, sisa/bakinya harus dibuang segera. Membiarkan sisa makanan dalam jangkawaktu yang lama akan membuat kucing tidak selesa atau mengakibatkan keracunan. Sebaik gigi kucing telah lengkap sepenuhnya (30 batang semuanya) iaitu antara usia empat hingga tujuh bulan, ia harus diajar makan makanan kucing dalam bentuk biskut.
Makanan dalam bentuk biskut bukan sahaja dapat mengelakkan keracunan makanan, tetapi juga tidak berbau. Malah, kucing yang mengamalkan pemakanan biskut, najisnya keras dan baunya tidak sekuat kucing yang makan makanan lembut atau dalam tin.